Powered By Blogger

Friday, March 02, 2012

Sosok Sang Pencerah

Era Renaissance yang mengakar di dalam kehidupan orang Eropah, sejak penghujung abad ke-15 itu, bukan “gerakan politik”. Sesiapa yang membaca sejarah akan tahu, di abad-abad ke-16, 17 dan 18 adalah abad “gerakan kebudayaan”. Kebangkitan atau apa disebut sebagai “kelahiran semula” Eropah. Terbit daripada Zaman Gelap; Gothic Age.
Zaman itu disebut juga sebagai “Zaman Pertengahan”. Di antara kelahiran semula Eropah yang pernah di suatu ketika, mempunyai era kegemilangan di bawah khususnya empayar Rom, selain Yunani. Apabila keduanya malap—kemudian runtuh—di hujung abad ke-5, tak ada lagi pemikiran cemerlang yang melatari kehidupan Eropah.
Bukan sahaja tak ada Plato atau Socrates, namun tak ada bentuk-bentuk pemikiran baru. Termasuk pemikiran kenegaran atau kemasyarakatan; yang hari ini kita menyebutnya barangkali sebagai “politik”. Mengapakah rentang waktu Renaissance disebut sebagai zaman gerakan kebudayaan dan pemikiran?
Di sana, muncul karya-karya dan hasil kerja tangan manusia yang cemerlang: zaman di mana manusia tidak hanya mendongak ke langit untuk mendapat keajaiban Tuhan. Manusia sedar, doa dan pengharapan sahaja tak memadai. Tangan mereka harus menyempuh besi, melakar lukisan, menyusun batu-batu. Semua itu dibuat bukan lagi demi langit (baca: Tuhan). Tapi, untuk diri mereka sendiri (baca: manusia) terlebih dahulu.
Barangkali ada yang bertanggapan ia cemuh; kerana ‘meninggalkan’ Tuhan sepi di langit hijau. Tidak! Kesedaran untuk mengasah bakat (akal dan hati nurani) adalah apa yang dikehendaki oleh Tuhan jua. Atas salah faham inilah, maka Eropah terhukum berada di gaung kegelapan selama 10 ribu tahun!
Ciri-ciri Zaman gelap itu berada di Timur hari ini. Dalam bahasa politik, nama Tuhan dijadikan perisai alasan untuk berlaku zalim, menindas, merangkus tenaga orang ramai. Ada negara yang dibangunkan, jelas-jelas atas sentimen itu: “demi Tuhan,” kata mereka, “rakyat perlu diselamatkan!”
Diselamatkan daripada apa? Wallahualam
Mungkin daripada menjadi tidak mengenal Tuhan. Tuhan yang dimengertikan oleh Sang Penguasa sering sahaja berbeza dengan Tuhan yang dimengertikan oleh rakyat. Sebab itu, hari ini, kita boleh mendengar bagaimana ada orang yang di pentas kekuasaan—sama ada politik atau kebudayaan—bercakap dengan nada gempak. Merasakan diri mereka punya “hak untuk menyelamatkan” yang lain. Bukan dengan jalan dakwah, tapi dengan jalan pemaksaan.
Saya tak faham, saya tak mengerti, bagaimana ketika kita melihat ‘bayang-bayang’ agama begitu melebar di tengah-tengah masyarakat, misalnya wanita yang bertudung yang semakin ramai berbanding seawal waktu kemerdekaan dahulu; namun amalan mencerca, memfitnah turut semakin dan semakin meluas.
Nah! Belum pernah di dalam sejarah umat Islam di Malaysia, misalnya, binaan masjid sebanyak yang ada sekarang. Belum pernah juga di dalam sejarah negara ini, binaan rumah-rumah ibadat agama lain sama ada Kristian, Hindu, Buddha sebanyak yang ada sekarang. Rumah-rumah ibadat yang tumbuh mencanak itu tak menandakan masyarakat kita bebas daripada gejala buruk.
Ada masalah pemikiran [agama] di bawah semua ini. Masalah “pemikiran agama” bukan bermaksud masalah agama. Ia adalah masalah agamawan, yang ditambah dengan masalah sang pemikir di bidang-bidang sosial lainnya seperti politik sampailah budaya, yang tidak cermat di dalam pemikiran, atau sebenarnya tak berfikir langsung.
Agamawan, penulis, pelukis, politisi atau apa sahaja yang mempengaruhi masyarakat tak lebih hanya sebagai simbol-simbol jawatan. Bukan lagi amanah.
Bolehkah kita bayangkan, bagaimana seorang penulis, misalnya, bertungkus-lumus menjadi penulis sedari usianya yang muda, tetapi akhirnya menjadi seorang birokrat. Menjadi seorang pensyarah di universiti atau pegawai kanan badan pemerintah. Di sana, daya fikirnya semakin lemah. Mulai jarang menulis. Dan, akhirnya ‘mati’ dalam sarang birokrasi.
Paling tinggi yang ia mampu lakukan ialah menyediakan rumah untuk anak-isteri. Beserta sebiji-dua kereta. Dia tak pernah mampu memainkan peranan sebagai fungsinya yang sebenar; iaitu menyeru manusia berbuat baik. Bagaimanakah cara untuk menyeru manusia berbuat baik?
Bagi menjawab soalan ini, era Renaissance Eropah menjadi mustahak. Di sana, seruan kebaikan wajar sahaja datang dengan keindahan. Atau disebut juga sebagai “estetika”. Kebaikan tidak boleh dibalut dengan “sarung yang jelek”.
Demikian apabila seorang seniman itu kurang berbakat, karya mereka juga akan kurang mendapat tempat. Sebabnya tak lain, apabila karya itu tak cukup nilai keindahannya. Tak cukup kuat untuk menjentik batin orang lain. Pengkarya sebegini akan lebih berlagak sebagai pengkarya “syok sendiri”.
Di tengah-tengah kekalutan inilah, sang penggila kuasa mengambil posisi. Membisikkan kepada rakyat, siang-malam pagi-petang bahawa mereka adalah ratu adil atau juru selamat. Adakah pencapaian tertinggi yang bisa dilakukan oleh golongan pendamba kuasa ini?
Setakat yang kita dengar, bicara mereka tak lebih hanya bergulat kepada soal “politik pembangunan”. Parti A berkata program pembangunan ekonominya lebih baik dairpada Parti B. Begitulah sebaliknya. Setakat itu.
Belum pernah di dalam sejarah bangsa kita, seorang yang bangun dan berbicara dengan tegas bahawa persoalan pembangunan hanya bahagian daripada cabang hidup bernegara. Tak pernah terfikirkah oleh kita bahawa tak akan pernah ada di dalam sesebuah negara itu, semua rakyatnya kaya. Takkan ada! Lalu, bagaimanakah nasib dengan rakyat yang miskin?
Hak untuk mendapat keindahan hidup, bukan hanya hak kepada golongan kaya. Kebahagiaan juga adalah hak kepada golongan miskin. Inilah yang tak disebutkan. Sekiranya dengan gaya politik yang ada sekarang, saya percaya, akan lama lagilah bangsa kita mampu terlepas daripada terus mengorbankan dirinya sendiri. Takkan ada kemakmuran di dalam mana-mana bangsa andai “yang terbanyak” itu menderita. Sengsara.
“Semangat Renaissance” perlu segera mengambil tempat. Lelaki dengan kupiah, wanita bertudung, bahkan rumah ibadat yang melacak-lacak takkan menjamin sesebuah masyarakat beragama dan ber-Tuhan dapat hadir. Penghinaan sesama manusia terus berlanjutan. Melihat pihak sana menderita, seakan kepuasan di pihak sini.
Baik di bidang pemikiran, kebudayaan, ekonomi mahupun politik, kita yang hidup hari ini memerlukan Sosok Renaissance, dan sosok itu takkan hadir tanpa peranannya sebagai Sang Pencerah. Mahu tidak mahu, meski sedikit sulit, kenyataan ini harus dikhabarkan kepada semua. Pagi ini juga. Dengan yang demikian, semakin cepatlah  kita mengenal yang mana intan; yang mana satu kaca.
Petikan Penulisan oleh Hasmi Hashim, Ketua Cabang Parti KeADILan Rakyat Parit Sulong dari http://jalantelawi.com 

Saturday, December 17, 2011

#BebasAnwar901


#BebasAnwar901 - 9.30am, January 9th 2012, Jalan Duta Court, KL.  



Hadirkan diri nyatakan pendirian!
Justice for Anwar Ibrahim!
REFORMASI!
REFORMASI!
REFORMASI!


Evolusi citarasa muzik!

Dalam entry sebelum ini ada aku ceritakan tentang band-band bergenre berat yang sedikit sebanyak mempengaruhi aku semasa di zaman sekolah seperti Korn, Slipknot, System of a Down, and so on. Entry kali ini aku ingin ceritakan sedikit tentang band-band yang lebih berat yang aku discover selepas tamat sekolah. Antaranya:

Korpiklaani
SuidAkrA
Ensiferum
Seingat aku band yang mula-mula sekali menarik minat aku di antara ketiga-tiga band ni adalah SuidAkrA. I should admit that muzik mereka pada mulanya agak weird. Mereka combined genre death metal (a bit melodic) yang general dah classify sebagai heavy dengan instrument folk traditional seperti 'bagpipe', 'banjo' dan 'tin whistle' (korang boleh Google instrument ni). Dan di bahagian vokal ada dua jenis. Satu dengan suara 'growl', 'harsh' dan satu lagi dengan 'clean vocal'. Lyrical themes mereka banyak berkisar tentang sejarah masyarakat Celtic, alam semulajadi dan peperangan purba. Lagu pertama yang aku dengar adalah 'The IXth Legion'. Mereka ini dari German. Epic!

Band kedua adalah Ensiferum. Fuhh! Band ni bukan nak kata la kan, dari segi wardrobe memang dah attract aku untuk try diorang. Mana taknya, dengan baju besi, pedang dengan kuda. Macam knight zaman dulu yang aku tengok dalam filem 'Kingdom of Heaven'! Band ini memainkan genre Folk Death Metal atau lebih spesifik, Heroic Folk Metal. Memang heroic gila! Ensiferum ini bermaksud pemilik pedang. Lirik mereka juga tentang sejarah purba dan alam semulajadi yang terdapat di sekitar negara-negara Scandinavian (Denmark, Norway, Finland, Sweden). Mereka ini dari Finland.

Korpiklaani nama band ni. Hehe! Mula aku dengar nama band ni nak tergelak. Jenama kopi apa pulak! Haha! Tapi muzik mereka agak unik. Nak tau kenapa unik? Lirik mereka tidak lari dari rukun folk metal sebenarnya, iaitu, celebrating the nature, ancient war and tales etc. Cuma ditambah lagi satu elemen, iaitu, tentang rutin harian mereka ---> minum vodka dan memburu! Haha! Gila kan? Menurut Jonne Järvelä (vocalist), muzik mereka boleh la diklasifikasikan sebagai ""old people's music with heavy metal guitars". Mereka ini berasal dari masyarakat native Finland dan dulunya dikenali sebagai Shaman. Korpiklaani bermaksud, kumpulan liar.

Wednesday, December 14, 2011

“Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan Islah sekuat daya kami”

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”;
Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:
Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;
Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;
Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;
Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;
Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;
Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.
Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.
Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.


Anwar Ibrahim
Permatang Pauh
12 September 1998 

Tuesday, December 13, 2011

Anwar Ibrahim mesti dihapuskan!

Ciri-ciri pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu memimpin keluarganya

Demi survival politik UMNO Anwar mesti dihapuskan. Walau dengan apa cara sekalipun watak ini mesti dihapuskan dari arus politik Malaysia. Watak inilah yang menggelorakan arena politik Malaysia yang sebelum ini tenang tidak pernah bergoyang sedikitpun. Sama ada orang suka atau benci, Anwar pernah disenarai oleh TIME MAGAZINE 2008 sebagai antara 100 tokoh dunia paling berpengaruh sebaris dengan Obama, Vladimir Putin, Hillary Clinton, Sonia Gandhi John McCain dan lain-lain. Beliau belum pernah gagal dalam sebarang pertandingan. Jenayah paling besar yang pernah dilakukannya ialah mencabar TDM 1998. Sejak itu nasibnya pun berubah. Satu demi satu kawan berpaling tadah.
Tsunami Politik 2008 adalah antara kesan dan pengaruhnya. BN hilang kuasa 2/3 di parlimen. Jika tsunami politik berskala lebih besar melanda PRU13 dan Putrajaya terbungkas maka pada ketika itu rakyat akan tahu bahawa terdapat sebuah terowong bawah tanah menghubungkan Putrajaya dan KLIA. Pada ketika itu lubang-lubang tikus disempadan juga akan menjadi tidak selamat.
 Dia adalah penggugat yang mengancam tahta dan singahsana kuasa berupaya menggegarkan tenaga muda progresif membina garis baru politik Malaysia – Negara bangsa yang adil serta hak asasi lebih terjamin.
Politik UMNO adalah warisan politik bangsawan Melayu feudal yang melihat Jebat sebagai orang yang sangat berbahaya. Warisan Pateh Karma Wijaya mencetus fitnah yang menyebabkan Jebat mengamuk dan akhirnya dibunuh. Pun begitu, Jebat tidak pernah mati. Semangat Jebat terus hidup dalam setiap jiwa yang cintakan keadilan.
Dalam konflik kuasa politik orang-orang Melayu sejak dulu fitnah adalah aparat politik yang sangat ampuh untuk menghapuskan musuh. Dalam hal ini Datok Bahaman pernah berpesan kepada pengikutnya agar jangan sekali-kali percaya kepada pembesar-pembesar Melayu. Bahaman adalah panglima raja - bergelar Orang Kaya Semantan menentang dasar cukai tanah  yang zalim oleh Inggeris di Pahang akhirnya menjadi orang buruan. Minumannya pernah dibubuh racun dalam satu majlis bersama pembesar-pembesar Melayu di Kota Bharu pada tahun 1896. Ia terselamat dan selepas itu Bahaman kemudian menukar namanya untuk setiap perjalanannya agar jejak beliau tidak dikesan"
Abdullah CD adalah warisan Perang Bahaman pemimpin Regimen 10 yang memakai berbagai nama dihutan akhirnya termakan juga racun yang dimasukkan di dalam makanannya. Dia diracun oleh orang yang diupah pada tahun 1971 yang kemudian telah membuat pengakuan secara pribadi kepadanya. Ketika itu Regimen 10 (Melayu) amat menjadi ancaman terhadap UMNO.
Dalam kes Anwar walaupun dikenali sebagai pemimpin yang begitu toleran namun Anwar adalah pemberontak terhadap ketidakadilan dan kerakusan kuasa kaum bangsawan Melayu yang telah berlanjutan lebih setengah abad. Pidatonya jitu dan mencengkam jiwa pendengar serta mampu mencetuskan gelombang kebangkitan di kalangan orang muda.
Lebih menggugat apabila dia berjaya membawa PAS – DAP duduk semeja sekaligus menghancurkan seluruh usaha UMNO selama ini agar PAS  dan DAP terus bercakaran. Anwar juga telah berjaya mengubah persepsi negatif orang-orang Tionghua terhadap PAS. Sokongan orang-orang Tionghua terhadap calon PAS di beberapa kawasan pilihanraya kecil menjadi bukti perkara ini. Sebelum ini PAS adalah ‘kui” atau hantu kepada orang Tionghua yang selalu diusik-usik oleh pemimpin-pemimpin UMNO supaya menjauhi parti ini kecuali jika mereka sanggup disunat….!
Anwar berjaya melunturkan kepercayaan orang-orang Tionghua terhadap MCA dan Gerakan. Di Bandar-bandar di Semenanjung boleh dikatakan hampir tiada lagi orang-orang Tionghua yang percaya pada MCA atau Gerakan. Kalau adapun mungkin yang sangat terpencil. Arus ini tidak mungkin surut lagi malah diramal akan menjadi gelombang lebih besar dalam PRU 13 nanti. Ada baiknya pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan bungkus kain baju mereka dan tinggalkan parti. Parti itu sudah tidak relevan. Orang-orang Tionghua tidak mudah dibeli dengan duit seperti orang Melayu, Malanau, Iban dan Kardazan. Sekolah Cina telah wujud di Malaya sejak tahun 1930 lagi ketika itu sekolah Melayu pun belum ada. Ini bermakna mereka kenal huruf-huruf p-o-l-i-t-i-k itu lebih awal.
Selain daripada fitnah dan isu perkauman apakah alat lain yang boleh diketengahkan untuk menyekat Anwar kecuali good governance dan jangan menindas rakyat. Dan ini tidak mungkin terjadi ! Dalam hal ini pilihan yang ada ialah “ Anwar “ dia mestilah dihapus demi kesinambungan kuasa bangsawan Melayu itu.Sekali lagi kaum bangsawan menuduh Anwar sebagai orang keciwa yang kononnya memberi harapan kepada orang-orang Tionghua untuk memerintah negara ini.
Fitnah bersiri yang dilancarkan UMNO terhadap Anwar bukanlah suatu yang aneh kerana hanya cara ini sahaja watak ini boleh dihapuskan. Selain Anwar siapa lagi yang boleh menyatukan PAS – DAP yang sepanjang sejarah bertikaian tetapi hari ini telah menjadi benteng baru untuk rakyat sandarkan harapan. Sebelum ini pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak pernah percaya bahawa akan wujud barisan alternatif seperti BN. Justeru mereka percaya hanya BN sahaja yang boleh mendirikan kerajaan.
Lebih 50 tahun PAS dan DAP dilaga-lagakan agar berkelahi seperti anjing dengan kucing. Bila anjing dan kucing sibuk bercakar maka ada peluang untuk mereka menyelongkar. Anwar telah menukar emosi anjing dan kucing hingga mereka boleh makan bersama. Justeru kebelakangan ini, strategi melaga-lagakan PAS – DAP sudah tidak berguna lagi. Dalam keadaan ini adakah aneh sekiranya “Anwar” dijadikan sasaran supaya semuanya berkecai !. Rekayaksa video lucah dan tayangannya di TV untuk ditonton oleh rakyat adalah hanya untuk memainkan emosi Melayu. Kenapakah isu Sodomi dan video lucah ini langsung tidak mempengaruhimasyarakat Tionghua?
Ternyata isu video lucah ini telah digunakan sepenuhnya oleh UMNO demi menyelamatkan Serawak dalam PRN baru-baru ini.Ia telah ditayangkan tidak henti-henti tanpa ada sedikitpun perasaan bersalah kerana melancarkan fitnah yang besar. Ia belum pasti benar dan dilarang Allah. Kerja terdesak ini hanya sanggup dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sangat jahat dan rendah akhlaknya.
Isu video lucah ini meletup pada hari DUN Serawak dibubarkan. Tayangan video ini terhenti sebaik sahaja pilihanraya selesai. Kenapa tidak diteruskan saja tayangan itu dan CDnya dibekalkan ke setiap sekolah supaya semua anak-anak kita disekolah juga tahu siapa itu Anwar Ibrahim!. Bila mereka keluar sekolah nanti mereka semuanya akan mendaftar menjadi ahli UMNO.
Anwar adalah pemimpin kepada kelas rakyat yang mendambakan pembelaan yang hidup tapi mabuk dalam derita. Kelas ini miskin namun mereka tidak tahu bahawa tidak sepatutnya miskin dalam sebuah negara yang begitu kaya. Mereka tidak sedar walaupun mereka bekerja keras namun hidupnya berselimut hutang demi menyara keperluan keluarga dan pendidikan anak-anak. Mereka tidak peduli dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang horaa sana dan horaa sini dengan duit yang mereka rompak dan pau daripada rakyat menerusi berbagai sumber cukai, lesen, permit, denda, toll, saman ekor dan sebagainya. Dengan berbagai-bagai caramereka tekan dan tindas asal mereka boleh dapat duit dari saku rakyat
Semua fitnah ini perlu dilancarkan demi melencungkan perhatian rakyat terhadap pelbagai penyelewengan. Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Najib dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal Selam Scorpene sebanyak RM500 jutaoleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum.  Begitu juga desakan yang berulang kali dari Anwar terhadap Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya dan Rosmah atas dakwaan berwibawa pembunuhan yang terkenal - model Mongolia Altantuya Shaaribuu.
Ternyata UMNO bukan saja telah menyalahguna media milik kerajaan malah lembaga-lembaga awam seperti Polis, Pejabat Peguam Negara, Lembaga Kehakiman Suruhan-jaya demi kuasa. Tanpa mempeduli tunjang sebuah negara demokrasi iaitu saparation of power seluruh lembaga ini sejak 1998 telah dikerah untuk menghapuskan seorang yang bernama Anwar Ibrahim kerana ia memimpin kesedaran kelas yang mengancam masa depan BN. Untuk menghapuskan watak ini tidak mustahil juga pada PRU 13 kita akan menyaksikan RPK, Nalakarupan dan Ummi Hafilda akan bergabung membalun Anwar. Dalam politik kawan adalah musuh yang paling berbahaya.
Sudah 13 tahun Anwar dipukul dan dibalun. Dihina supaya ia dibenci namun nampaknya watak ini tidak terjejas sedikitpun. Yang terakhir ialah konspirasi video lucah yang tidak begitu rapi perancangannya telah mendedahkan kejahatan mereka selama ini. Sanggupkah mereka menyembelih ketiga-tiga monyet video lucah itu sebagai langkah bermuka-muka terhadap rakyat dan apakah akan terjadi sekiranya ketiga-tiga monyet ini menyanyi mengikut musik kemudian melompat menggigit lengan tuannya sekiranya ia ingin disembelih seperti si toyol.
Anwar tidak akan mati dek keris pundek UMNO yang sebilah itu. Sudah 13 tahun dia dibalun bertalu-talu. Suaranya terus lantang dan matanya tetap tajam memaku wajah orang yang membuat tuduhan terhadapnya. Tidak henti-henti turun naik mahkamah tinggi dan rendah terutama apabila menjelang pilihanraya kecil. Pada 21 Februari 2011 hari dia dibicarakan Sodomi II dia dikatakan sempat pula melanggan seorang perempuan cina – dikatakan pelacur untuk melampiasi nafsu gilanya. Benarkah dia begitu rendah moralnya? 

**Artikel Tongkat Bahaman

13.12.11

Sebenarnya, ada signifikannya tarikh itu pada aku. Bukan bulannya, tapi nombor 13 tu. Itu dulu, 13hb April 2011. Aku ingat lagi text message berbunyi, "We should break up now." I can feel my world are back to dark ages. Dah la tu Alip, cerita lama. 

Aku ingat tarikh tu bukan sebab aku tak boleh terima kenyataan, tapi bermaksud aku berjaya mencapai sesuatu yang aku anggap sebagai 'demokrasi tulen'! Bebas dari belenggu!

Dan hari ini no 13 itu bukan aku benci lagi dah. Maksud aku, tarikh 13 haribulan Disember tu. Cantik tarikh tu, 13.12.11. Cun!

Sebenarnya aku ada crush di Twitter. Entah gila apa, aku tiba tiba boleh ter-crush dengan dia. Dan di saat ini aku sedang DM dengan dia, my #TwitterCrush. I call her Miss S. 


You made my day Miss S!


*DM - Direct Message

Monday, December 12, 2011

Another wet day!


Malam ini hujan lagi, 
Sejuk lagi seperti malam-malam sebelum. Taiping memang begitu. Tapi hujan ini semakin manjadi-jadi tatkala tahun baru bakal menjelma.

Malam ini hujan lagi, 
Di saat tahun baru bakal menjelang tiba dan aku bakal mengakhiri hujung tahun ini tanpa yang tercinta. Aku terima, mungkin suratan takdir. Ini kuasa 'Yang Atas'. 
Jangan di cabar.

Malam ini hujan lagi,
Aku terima berita bahawa bekas kekasih aku akan bertunang. Ini sesuatu yang tidak mengejutkan. Bahkan, sudah ku jangka dari awal. Tidak mengapa. 
Semoga berbahagia.

Malam ini hujan lagi, 
Aku sedar di saat aku bahagia tanpa ada apa-apa 'protokol' yang aku sifatkan sebagai demokrasi tulen ini, jauh di lubuk hati, aku tetap rasakan aku perlukan seseorang sebagai tempat untuk aku luahkan perasaan ini yang sudah lama dibiarkan tak dibelai.


Sesungguhnya, di saat aku menaip nukilan hati ini,
Malam masih hujan!



Memahami Kapitalisme

DARI MANA HARTA KEKAYAAN DATANG 
Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam duna ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.

Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.

Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global - semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dam memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.
Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. 


***artikel Hishamuddin Rais